Pages

Tuesday, September 11, 2012

BANDAR BARU DI JALAN KEBUN DAN KEBUN BAHRU ( RIMBAYU IJM LAND)


PETALING JAYA 29 Mei - Sejajar dengan usaha global melestarikan alam sekitar, IJM Land Bhd. (IJM Land) melalui anak syarikatnya, Canal City Construction Sdn. Bhd. (CCC) akan membangunkan projek pembangunan bercampur berkonsepkan rimba dan bayu di Shah Alam, Selangor.
Projek yang dinamakan Bandar Rimbayu itu dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar RM11 bilion.
Fasa pertama projek itu akan dimulakan pada separuh kedua tahun ini melibatkan pembinaan 526 buah rumah teres.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land, Datuk Soam Heng Choon berkata, projek Rimbayu dijangka mengambil masa selama 15 tahun untuk siap sepenuhnya.
Katanya, projek itu meliputi 10,000 buah kediaman, pejabat, sekolah dan juga pusat komersial di kawasan seluas 751.6 hektar.
"Rimbayu dicipta untuk menggambarkan reka bentuk perbandaran masa depan yang menekankan pembangunan hijau,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat media mengenai projek Rimbayu serta majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan di antara IJM Land dan Telekom Malaysia Bhd. (TM) di sini hari ini.
Hadir pada majlis ialah Naib Presiden TM Selangor, Datuk Zaini Maatan dan Ketua Pegawai Operasi Canal City Construction Sdn. Bhd., Shuy Eng Leong.
Bandar Rimbayu bakal menerima kemudahan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) daripada TM.
Malah, setiap bangunan dan unit kediaman akan dilengkapkan dengan bumbung sisilasi (sisilation roof) bagi mengurangkan kesan pulau haba selain mengurangkan penggunaan sistem hawa dingin.
Pemaju turut mengusahakan pengumpulan air hujan di kawasan terpilih dan mewujudkan pemasangan panel solar bagi mengurangkan penggunaan elektrik untuk mendapatkan sistem air panas.
Perbandaran itu juga akan ditanam dengan lebih 50,000 pokok bagi mewujudkan suasana rimba dan hijau.
Lokasi perbandaran itu juga strategik iaitu dihubungkan dengan rangkaian lima lebuh raya utama di Lembah Klang iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LAKSA), Lebuhraya Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
Ketika ditanya potensi jualan setakat ini, kata Heng Choon, pihaknya telah menerima 2,000 pendaftaran tempahan setakat ini dan ia dijangka meningkat sehingga 5,000 sebelum pelancaran rasmi bandar tersebut.
"Sewaktu pelancaran rasmi, kami akan mengumumkan harga sebenar kediaman yang disifatkan sebagai mampu milik untuk semua rakyat di negara ini.
"Kami menawarkan kediaman teres dari peringkat kos rendah sehingga ke peringkat kos mewah di Bandar Rimbayu,'' katanya.

                                                                                                                                                            DIPETIK DARI UTUSAN

No comments:

Post a Comment